Sunday, 9 September 2012

ASAL USUL KASTURI

 Hadis Riwayat Muslim,"Sebaik-baik wangian adalah wangian kasturi"

Ramai yang biasa mendengar atau pernah mendengarnya tetapi tidak pernah tahu apa dan dari mana asal-usulnya. Itulah kasturi. Apa sahaja haruman, wangian dan kebaikan akan dikaitkan dengan kasturi. Di atas adalah antara hadis-hadis Nabi s.a.w. yang menyebutkan tentang kasturi.

Kasturi bertindak sebagai agen penyebar haruman selain dipercayai mempunyai kelebihan dalam dunia perubatan tradisional. Ia merupakan entiti paling berharga yang didatangkan dari tubuh kijang jantan.

'BAHAWA dinding-dinding syurga itu batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya kasturi.' Mengamati petikan hadis riwayat Al-Bazzar ini membayangkan kepada kita betapa keenakan bauan kasturi itu sudah lama disebut dan disampaikan dari mulut ke mulut.

Sekian lama merentangi latar zaman, waktu dan masyarakat, rahsia kehebatan kasturi terus diperkata. Hinggakan apa sahaja yang berbau harum dikaitkan dengannya.

Ungkapan 'seharum kasturi' juga mudah ditemui dalam bait puisi turun-temurun, lirik lagu cinta dan juga bicara romantis.

Namun, sejauh manakah kita mengetahui dari mana datangnya bahan yang istimewa ini? Bagi yang keliru, kasturi disangkakan ekstrak pati bunga, buah-buahan atau kulit kayu, sebagai mana dalam industri pembuatan minyak wangi.

Sebenarnya, istilah kasturi (bahasa Inggeris: musk) merujuk kepada kandungan yang terdapat dalam bintil kelenjar kijang jantan.

Walaupun kerap ditemukan di bahagian antara perut dan genital, kasturi juga bukan janggal jika ia tumbuh di bahagian-bahagian lain haiwan tersebut, seperti di leher, badan atas dan juga kepala.

Apabila tertanggal atau dipotong dari tubuh kijang tersebut, bintil kasturi yang mengering membuatkan kandungan berwarna merah keperangan berubah menjadi hitam dan keras.

Jika ditekan kuat atau diketuk, butiran kecil akan terkeluar darinya dan bahan itulah yang dicampur bersama minyak atau ekstrak wangian beralkohol.

Sejak ratusan tahun lalu, ia digunakan dalam pembuatan wangi-wangian. Kasturi juga bertindak sebagai agen penyebar haruman selain dipercayai menjadikan bau haruman lebih tahan lama. Pendek kata, ia merupakan produk haiwan yang paling berharga dan haiwan tertentu sahaja menghasilkannya.

Dalam dunia ini, hanya terdapat lima jenis haiwan yang menghasilkan kasturi iaitu kijang jantan, lembu, musang, kura-kura dan tikus. Paling popular adalah kasturi kijang jantan yang hidup di pergunungan Himalaya. Bukan tikus yang macam kita jumpa di lorong dan longkang, tapi jenis tikus yang besar saiznya.

Apa yang dimaksudkan adalah rodensia besar seperti memerang iaitu tikus muskrat (Ondatra zibethicus). 

Dalam bidang perubatan tradisional  kasturi dipercayai mampu mengembalikan kesedaran seseorang yang pitam atau pengsan, melancarkan peredaran darah, merangsang penyingkiran darah haid, mengurangkan kesan bengkak dan meredakan kesakitan.

Oleh kerana spesies kijang yang menghasilkan kasturi sukar ditemui, saintis  beralih kepada sains dan teknologi untuk mengembangkan potensi perubatan.

Ia dilakukan dengan penternakan artifisial mamalia tersebut seterusnya mengekstrak bintil kasturi tanpa perlu membunuh kijang. Pengambilan bintil kelenjar itu secara berjadual menggalakkan penghasilan kasturi sekali gus mendorong upaya reproduksinya.

Kasturi diangkat sebagai penawar ajaib di kalangan masyarakat konvensional di Nepal, Pakistan, Siberia dan Mongolia.

Di India pula, penggunaan kasturi telah lama diserap dalam kaedah perubatan Ayurveda. Kononnya, ia mampu meredakan penyakit asma, ekzema, demam, sakit kepala dan ulser. Bagaimanapun, pembuktian klinikal masih dijalankan tentang dakwaan tersebut.

Kegunaan paling popular adalah dalam industri pembuatan minyak wangi. Baik minyak wangi atau atar yang didatangkan dari Mekah atau India, terdapat juga pengusaha yang memasukkan butiran kasturi itu ke dalam botol jualan. Ia akan menambah nilai harganya.

Ada yang keliru tentang hukum ia digunakan untuk bersembahyang. Kalau hendak mengulas lebih mendalam tentang itu, saya kurang arif.

Dianjurkan pertanyaan ini kepada Mufti Johor, Datuk Noh Gadot berkata, kekeliruan mengenai hukum sah dibawa sembahyang ini terjadi memandangkan kasturi berasal dari haiwan.

Selain faktor itu, bintil kelenjar ini juga 'dipisahkan' dari tubuh haiwan tersebut ketika ia masih hidup, atau tidak disembelih.

"Sama seperti bulu kambing (yang telah dibersihkan) digunakan sebagai alas atau dijadikan sebahagian daripada pakaian ketika bersembahyang, begitulah juga dengan kasturi.

"Hakikatnya, ia adalah entiti yang wujud secara sendiri pada tubuh haiwan itu. Oleh kerana sifatnya yang bersih, kasturi tidak melanggar syarat sah solat bagi seseorang yang memakai harumannya," jelas Noh.

Wangian Kasturi Wangian Syurga. 
Antara Kelebihan Kasturi:-
  • Memberi kekuatan kepada roh.
  • Melegakan stress.Sebagai pendidnding dan perisai diri.
  • Meningkatkan keyakinan diri.
  • Menenangkan jiwa.
  • Mencergaskan akal dan menyihatkan otak.
  • Mengurangkan ketakutan dan kebimbangan.
  • Mengurangkan gementar dalam tubuh.
  • Menyukakan para malaikat dan solehin.
  • Menjauhkan ganggaun makhluk halus.
  • Mneyedarkan orang yang pengsan.
  • Kesemuanya dengan keizinan Allah s.w.t.